KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa dukacita berikutan insiden seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.
Anwar berkata, beliau dan isteri mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham yang sedang berdepan dengan ujian yang amat berat ketika ini.
“Saya dan Azizah berduka menerima berita pemergian seorang anak di sebuah sekolah di Negeri Sembilan hari ini. Takziah buat keluarga yang sedang diduga dengan ujian yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pendidikan telah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.
Anwar turut memohon semua pihak memberi ruang kepada keluarga Allahyarham dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, sementara pihak polis menjalankan siasatan.
“Saya dan Azizah mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Seremban pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di sini pada pukul 10.48 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan tindakan lanjut. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di kawasan bangunan sekolah berkenaan. Polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti beberapa individu yang dapat membantu siasatan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


