JOHOR BAHRU – Rakyat Johor masih mengingati tindakan Pakatan Harapan (PH) membatalkan banyak projek mega yang sepatutnya memanfaatkan negeri ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li berkata, antara projek yang terjejas ketika itu adalah Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
“Kedua-duanya melibatkan masa depan Johor dan pembangunan ekonomi Malaysia. Mereka tidak pernah terfikir selepas projek ini siap, berapa besar manfaat ekonomi yang mampu dibawa kepada Malaysia termasuk Johor.
“PH tidak pernah peduli berapa ramai rakyat Johor perlu menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura setiap hari atau berapa ramai rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk berbelanja,” katanya menerusi satu rakaman video.
Zhi Li berkata, kerajaan PH ketika itu malah sanggup membayar pampasan sehingga RM320 juta kepada Singapura kerana enggan meneruskan projek terbabit atas alasan penjimatan.
Bagaimanapun, katanya, apabila kerajaan lain dibentuk pada 2020, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan berjaya menghidupkan semula projek RTS, namun projek HSR tidak sempat diselamatkan.
“Hari ini projek RTS hampir siap, tetapi ironinya menteri-menteri PH pula tanpa segan silu mendakwa ia adalah kejayaan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan naratif penjimatan yang sering dibawa PH sedangkan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup termasuk kenaikan cukai, tarif utiliti dan pelbagai bebanan baharu.
“Kalau benar kerajaan berjimat, ke manakah perginya wang yang dijimatkan itu? Mengapa rakyat masih berdepan kehidupan yang
semakin mencabar?
“Rakyat sepatutnya menikmati hasil penjimatan tersebut, bukannya terus menanggung pelbagai kenaikan kos,” katanya.
Beliau turut mendakwa jumlah hutang negara yang berada pada paras RM686.8 bilion ketika era BN telah meningkat kepada lebih RM1 trilion di sebalik alasan penjimatan.
Sehubungan itu, Zhi Li menggesa rakyat Johor menggunakan hak mengundi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk memberi penilaian terhadap prestasi kerajaan
“Jika hanya tahu membatalkan dan membinasakan projek yang dirancang pihak lain, jangan pula datang menuntut kredit atas hasil yang bukan usaha sendiri,” sindirnya.
– MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


