Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Peter Cklamovski hari ini mengumumkan beliau akan meninggalkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform media sosial pasukan kebangsaan, sekali gus menamatkan khidmat beliau bersama skuad negara selepas tempoh mengendalikan pasukan sejak awal 2025.
Dalam kenyataannya, Cklamovski memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas beliau merasakan sudah tiba masanya untuk menyahut cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh bersama Harimau Malaya termasuk pemain, pegawai pasukan dan penyokong.
“Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap detik bersama digerakkan dengan objektif yang sama iaitu untuk membuat Malaysia berbangga,” katanya.
Cklamovski turut menyifatkan bola sepak Malaysia mempunyai potensi besar serta menegaskan semangat penyokong, bakat pemain dan kecintaan terhadap sukan itu perlu terus dipelihara demi masa depan bola sepak negara.
Dalam masa sama, beliau berharap pembangunan bola sepak Malaysia akan terus berkembang dengan keputusan yang sentiasa berpandukan kepentingan permainan, pemain serta masa depan negara.
Setakat ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mengumumkan pengganti rasmi bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Terdahulu, laporan media turut mengaitkan nama Cklamovski dengan peluang meneruskan kerjaya di luar Malaysia susulan minat daripada kelab luar negara.
Mynewshub akan terus mengikuti perkembangan seterusnya termasuk pengumuman rasmi mengenai pengganti beliau di bangku kejurulatihan Harimau Malaya.-MYNEWSHUB



