Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan pemerhati ekonomi, Lim Sian See menerusi satu hantaran di media sosialnya mendakwa kuota subsidi diesel untuk pelbagai kategori lori telah dikurangkan antara 30 hingga 70 peratus sejak 1 Jun lalu.
Langkah kerajaan dibuat secara senyap-senyap dan kononnya mahu membendung penyalahgunaan subsidi, katanya.
Menurut dakwaan tersebut, terdapat pengusaha lori jarak jauh yang sebelum ini menerima kuota sekitar 5,999 liter sebulan kini hanya menerima kira-kira 1,800 liter sebulan, iaitu pengurangan melebihi 4,000 liter.
Pemain industri yang dipetik mendakwa perubahan itu boleh memberi tekanan besar kepada sektor logistik terutama melibatkan pengangkutan makanan, hasil pertanian, bahan binaan, produk kilang serta keperluan harian, kata Sian See.
Mereka turut mendakwa apabila kuota subsidi habis digunakan, pengusaha terpaksa membeli diesel pada harga pasaran yang lebih tinggi berbanding harga bersubsidi, sekali gus meningkatkan kos operasi.
Menurut mereka, peningkatan kos tersebut berpotensi diterjemahkan kepada caj pengangkutan yang lebih mahal sebelum akhirnya memberi kesan kepada harga barang di pasaran.
Dalam masa sama, pihak industri dilaporkan menggesa kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain logistik sebelum melaksanakan sebarang semakan kuota secara meluas bagi mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan negara.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan yang mengesahkan angka pengurangan kuota seperti yang didakwa.
Mynewshub akan terus mendapatkan reaksi rasmi pihak berkaitan serta perkembangan lanjut mengenai perkara ini. – MYNEWSHUB



