JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memaklumkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 21 Jun ini di FELDA Ulu Belitong, Kluang tidak dapat diteruskan selepas pihak FELDA Johor diarahkan untuk membatalkan penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai arahan tersebut walaupun program berkenaan hanya berbaki empat hari sebelum tarikh pelaksanaannya.
Menurut beliau, sambutan tahunan itu sentiasa dinantikan warga FELDA di Johor kerana menjadi platform menghimpunkan masyarakat FELDA dalam suasana muafakat dan kebersamaan.
Katanya, pelbagai program telah dirancang bagi meraikan serta menghargai jasa peneroka, termasuk penyerahan hak milik kepada 210 peneroka selain pameran agensi, program pembangunan komuniti, aktiviti belia dan keluarga serta pelbagai inisiatif kebajikan.
“Kerajaan Johor bersama pihak FELDA telah membuat pelbagai persiapan dan penyelarasan untuk menjayakan program ini. Malah, lebih 5,000 warga FELDA daripada 73 rancangan FELDA seluruh Johor telah mengesahkan kehadiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau berkata, sambutan tersebut turut dirancang sebagai kemuncak kepada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk masyarakat FELDA termasuk bantuan kebajikan, Bantuan Kasih Johor, Bakul Kasih Johor, pembangunan infrastruktur, pemberian lot generasi kedua, geran pentadbiran JKKR dan GPW.
Menurutnya, secara keseluruhan lebih RM35 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Johor kepada warga FELDA bagi tempoh 2022 hingga Jun 2026.
Zahari berkata, meskipun keputusan pembatalan itu bukan dibuat oleh kerajaan negeri, pihaknya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan.
“Walaupun penangguhan ini bukan dari pihak kami, namun atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf atas penangguhan di saat akhir ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Johor untuk terus memperjuangkan kebajikan warga FELDA tidak akan terhenti dan segala usaha yang dirancang demi kesejahteraan masyarakat FELDA akan terus dilaksanakan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahari Sarip


