SEREMBAN – Perlawanan Unifi Liga Super (LS1) antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dijadual berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pukul 5 petang ini tidak dapat dilangsungkan selepas hampir separuh pemain KL City disahkan mengalami influenza.
Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City berhubung keadaan kesihatan pemain pasukan berkenaan.
Menurut MFL, KL City dalam permohonan tersebut memaklumkan seramai 15 pemain dan dua pegawai pasukan mengalami simptom demam, batuk, selsema serta cirit-birit berdasarkan laporan perubatan yang dikemukakan kepada badan pengendali liga itu.
Kesemua pemain dan pegawai terbabit akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk mendapatkan rawatan lanjut memandangkan penyakit berkenaan mudah merebak dan memerlukan tempoh pemulihan.
MFL berkata, selepas menilai permohonan serta keadaan yang dihadapi KL City, keputusan dibuat untuk tidak melangsungkan perlawanan berkenaan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan diberikan keutamaan.
Bagaimanapun, MFL memaklumkan perkara itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah badan berkenaan bagi menentukan status perlawanan tersebut dalam masa terdekat.
Perlawanan Negeri Sembilan FC menentang KL City merupakan aksi Unifi Liga Super musim 2026/27 yang sepatutnya berlangsung petang ini di Paroi. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Malaysian Football League


