KOTA TINGGI – Sekeping gambar memaparkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama anakandanya, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar menikmati suasana santai di sebuah kedai makan mencuri perhatian.
Dalam gambar yang dikongsikan di media sosial itu, baginda dan Tunku Iskandar dilihat meluangkan masa tanpa sebarang protokol rasmi, malah duduk di atas kerusi plastik yang tersedia di premis berkenaan.
Suasana sederhana dan mesra rakyat itu sekali gus menyerlahkan keperibadian Tunku Mahkota Ismail yang dekat dengan masyarakat serta tidak kekok berada dalam kalangan rakyat jelata.
Ruangan komen media sosial memberi reaksi positif yang tersentuh melihat keperibadian baginda dan anakandanya.
Seorang netizen, Jai Saleng menulis: “Alhamdulillah, gambar ni rare. Bukan senang nak tengok anak raja duduk kerusi plastik.”
Seorang lagi pengguna media sosial, Bai Aes Camar menzahirkan doa dan penghargaan dengan menulis: “Daulat Tuanku… Alhamdulillah… Allah berkati Johor.”
Sementara itu, Yee Choy turut menzahirkan rasa hormat terhadap institusi diraja Johor menerusi ucapan “Dirgahayu Tuanku” sambil mendoakan kesejahteraan Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Johor.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Iskandar berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor pada Jumaat.
Ketibaan baginda disambut oleh orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman serta merakam kenangan bersama baginda.
Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Iskandar kemudian menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah di masjid berkenaan. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. – MYNEWSHUB


