KUALA LUMPUR – Pendakwah dan aktivis sosial, Firdaus Wong Wai Hung mengucapkan tahniah kepada barisan peguam susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Indira Gandhi bersama 13 individu lain untuk membatalkan beberapa peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di lapan negeri serta Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, keputusan mahkamah itu bermakna peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan kekal berkuat kuasa seperti sedia ada.
“Tahniah kepada barisan peguam,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Peguam yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bagi mencabar peruntukan undang-undang berkaitan pemelukan Islam kanak-kanak berusia bawah 18 tahun tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Kata beliau, mahkamah memutuskan kesemua plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan berkenaan kerana mereka tidak terkesan secara langsung dengan peruntukan yang dicabar.
Jelas beliau, susulan keputusan itu, mahkamah tidak membuat sebarang penentuan terhadap merit atau inti pati tuntutan yang dibangkitkan oleh plaintif.
Tambah beliau, dalam tindakan tersebut, lapan kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan dinamakan sebagai defendan.
Beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut memohon untuk mencelah dalam prosiding berkenaan dan kemudiannya diterima sebagai Defendan Kesembilan dan Defendan Kesepuluh.
Zainul Rijal berkata, pihaknya bertindak mewakili MAIWP dalam kes tersebut. – MYNEWSHUB


