OLEH MYNEWSHUB
SHAH ALAM – Tindakan seorang penunggang motosikal membunyikan hon dipercayai kerana laluan dihalang bertukar menjadi insiden berdarah apabila dia diserang menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13 di sini, pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur sebelum berlaku perselisihan dengan seorang lagi penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah membunyikan hon terhadap seorang penunggang motosikal yang dipercayai menghalang laluannya ketika melalui laluan motosikal di kawasan terbabit.
“Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa sebelum bertindak memberhentikan motosikal di tepi jalan.
“Suspek kemudian menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek untuk membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran. –MYNEWSHUB


