JOHOR BAHRU – MCA menyatakan kesediaan penuh untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan jentera parti di semua peringkat telah digerakkan bagi membantu Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat yang kukuh.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, persiapan tersebut diperkukuhkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya MCA yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan bertujuan memperhalusi perancangan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan parti bagi menghadapi cabaran pilihan raya yang bakal tiba.
Katanya, seluruh jentera parti daripada kepimpinan tertinggi sehingga ahli akar umbi kini berada dalam keadaan siap siaga dan bersatu untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kemenangan BN di Johor.
“Jentera kami telah digerakkan sepenuhnya dan misi kami jelas. Setiap peringkat parti bersedia untuk membantu BN mendapatkan mandat yang kukuh di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain PRN Johor, beliau berkata MCA turut membuat persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya negeri di Negeri Sembilan dan Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Ka Siong, mesyuarat yang dihadiri pemimpin MCA serta petugas pilihan raya dari seluruh negara itu mencerminkan keazaman dan semangat juang yang tinggi dalam parti.
Beliau menegaskan MCA perlu sentiasa bersedia, mengekalkan perpaduan dalaman, memperkukuhkan koordinasi tindakan serta terus komited memberikan yang terbaik demi parti dan rakyat.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, dengan perpaduan, disiplin dan kerja berpasukan, kami bersedia untuk menghadapinya bersama-sama,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


