SHAH ALAM – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan sebuah binaan haram yang dijadikan penempatan warga Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menerusi satu kenyataan media, PDT Hulu Langat menegaskan pihaknya bersama agensi penguatkuasaan daerah sentiasa komited dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan.
“PDT Hulu Langat bersama semua agensi penguatkuasaan daerah sentiasa komited dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
PDT Hulu Langat menjelaskan struktur bangunan kediaman bertingkat berkenaan didirikan sebahagian besarnya di atas lot tanah hak milik individu HSM 5345 PT 3940 yang mempunyai syarat nyata sebagai rumah kediaman, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.
Menurutnya, beberapa struktur kediaman lain turut didirikan secara tidak sah di atas lot berkenaan serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai dan pernah didiami oleh penduduk etnik Rohingya.
Bagi rekod, PDT Hulu Langat telah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada pemilik struktur terbabit pada tahun 2017, 2020, 2021 dan yang terkini pada 13 Mac 2025.
Selain itu, satu operasi perobohan bersepadu turut dilaksanakan pada tahun 2017 melibatkan PDT Hulu Langat bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam perkembangan sama, MPKj telah mengeluarkan beberapa notis dan tawaran kompaun pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.
LUAS pula membuka kertas siasatan pada tahun ini di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 bagi mengesyorkan tindakan pengkompaunan terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor turut menyertai operasi bersama PDRM menerusi Ops Kutip yang dijalankan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 28 Februari lalu.
Hasil operasi tersebut, seramai 42 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MYNEWSHUB


