JOHOR BAHRU – Isu tular melibatkan surat rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam bahasa Cina berlaku ketika pentadbiran kerajaan Johor diterajui Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, surat yang menjadi tular itu dikeluarkan ketika Johor berada di bawah pentadbiran PH.
Menurut beliau, surat berkenaan sendiri menunjukkan nama Cheo Yee How, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling daripada DAP ketika itu sebagai antara pihak yang terlibat dalam program berkenaan.
“Surat yang tular itu sendiri menunjukkan nama Cheo Yee How, ADUN Perling daripada DAP ketika itu, sebagai antara pihak yang terlibat dalam program berkenaan.
“Justeru, cubaan untuk menggambarkan seolah-olah isu tersebut berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Johor hari ini yang dipimpin Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah tidak jujur dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Jafni berkata, susulan kejadian tersebut, Sultan Johor telah bertitah dengan tegas bahawa segala urusan surat-menyurat rasmi yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah menggunakan Bahasa Melayu.
Katanya, titah baginda amat jelas dan menjadi pedoman kepada seluruh jentera pentadbiran negeri sehingga ke hari ini.
Beliau menegaskan kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung titah Sultan Johor serta menghormati dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Fakta perlu disemak dengan teliti supaya masyarakat mendapat gambaran yang benar mengenai sesuatu isu,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi bukan sekadar memenuhi kehendak undang-undang, malah merupakan tanda penghormatan kepada Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada negeri dan negara.
Tambahnya, kerajaan Johor akan terus memastikan setiap agensi di bawah pentadbirannya mematuhi segala dasar, peraturan dan titah yang telah ditetapkan demi memelihara kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, menjunjung Bahasa Melayu serta mengekalkan keharmonian negeri. – MYNEWSHUB.
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohd Jafni Md Shukor


