KUALA LUMPUR – Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik memberi ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk muncul sebagai kuasa politik yang lebih besar daripada sebelumnya.
Ketua Bersatu Ampang, Nor Hizwan Ahmad mendakwa, keputusan PAS tersebut akan membuka pasaran pengundi yang selama ini tertutup buat Bersatu disebabkan oleh PAS.
“Bersatu kini bebas menentukan haluan sendiri. Selama ini setiap langkah Perikatan Nasional (PN) sering dinilai melalui lensa PAS.
“Ramai pengundi Cina, India, profesional bandar dan pengundi atas pagar mempunyai kebimbangan terhadap pengaruh PAS dalam gabungan pembangkang.
“Dengan perubahan landskap ini, Bersatu mempunyai peluang untuk mendekati segmen pengundi yang selama ini menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Nor Hizwan memberi peringatan PAS sedang mengambil risiko yang besar apabila membuat keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu.
Beliau memberi bayangan ramai penyokong PAS akan bersama Bersatu sekiranya PAS kembali menjalin kerjasama dengan UMNO.
“Apabila PAS memilih untuk mendekati semula UMNO, adakah PAS yakin semua pengundi anti-UMNO akan mengikut mereka?
“Dalam demokrasi, tiada keputusan politik yang boleh dianggap muktamad sebelum diuji di hadapan rakyat melalui pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan PAS bahawa Politik hari ini bukan hanya ditentukan oleh ramai jentera parti, tetapi oleh sentimen rakyat, naratif media sosial, persepsi kepimpinan, isu ekonomi, pengundi muda dan keupayaan menguasai ruang digital.
“PAS hanyalah salah satu rakan politik yang pernah bekerjasama dalam satu fasa tertentu perjuangan politik negara.
” Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan seolah-olah masa depan Bersatu bergantung sepenuhnya kepada PAS,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nor Hizwan Hj Ahmad


