TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau melakukan lawatan rasmi ke Jepun sehingga Rabu ini dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia.
Anwar yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda malam tadi berkata, lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada misi Diplomasi Madani yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Menurutnya, beliau akan mengetuai delegasi negara dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bagi membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama.
“Dalam lawatan ini, saya akan mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala, memperluas kerjasama strategik serta meneroka peluang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah aspek keterjaminan dan keselamatan tenaga yang semakin penting dalam landskap ekonomi dan geopolitik semasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Selain pertemuan rasmi dengan kerajaan Jepun, Anwar berkata beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri utama negara itu bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia.
Beliau berharap misi tersebut akan dipermudah dan membawa manfaat kepada negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peluang pelaburan, perdagangan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


