KUALA LUMPUR – PAS secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung hari ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu yang mempertimbangkan aspek dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS berteraskan prinsip penyatuan ummah.
“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Bagaimanapun, PAS memaklumkan parti itu akan meneroka satu bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
Dalam masa sama, PAS turut menerima hasrat pelbagai pihak termasuk tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti tersebut. – MYNEWSHUB


