KUALA LUMPUR – Seorang wakil komuniti pelarian Rohingya, Sharif Media merayu kepada kerajaan dan rakyat Malaysia agar terus menunjukkan belas ihsan serta semangat kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosial, beliau berkata masyarakat Rohingya telah lama berdepan penindasan, keganasan, perpindahan paksa dan kehilangan ahli keluarga akibat krisis yang berlaku di negara asal mereka.
Menurutnya, ramai pelarian Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar demi mencari perlindungan selepas berdepan pelbagai pencabulan hak asasi manusia serta dinafikan hak kewarganegaraan dan hak-hak asas.
“Kami dengan penuh hormat memohon agar rakyat Malaysia memberikan pemahaman dan sokongan kepada pelarian Rohingya. Janganlah menilai kami berdasarkan salah faham atau stereotaip,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia yang selama ini menjadi tempat perlindungan kepada ramai pelarian dan golongan yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
Sharif menegaskan komuniti Rohingya menghormati undang-undang, peraturan, budaya dan kerajaan Malaysia serta hanya mahu hidup dengan aman dan menyumbang secara positif kepada masyarakat.
“Kami hanya mengharapkan peluang untuk hidup dengan aman, menyumbang kepada masyarakat dan menyediakan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya terus menjunjung nilai kemanusiaan, belas kasihan dan keadilan dalam menangani isu pelarian Rohingya.
Katanya, sokongan dan kebaikan rakyat Malaysia memberi harapan kepada keluarga-keluarga Rohingya yang telah melalui pelbagai penderitaan dan kehilangan. – MYNEWSHUB


