Oleh Mynewshub
SEGAMAT – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Hospital Segamat bakal ditutup sepenuhnya bermula 1 Julai 2026.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini, JKNJ memaklumkan pihaknya mengambil maklum penyebaran maklumat berkaitan dakwaan penutupan hospital itu serta surat penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas bertarikh 3 Jun 2026.

JKNJ menegaskan bahawa Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan hospital sebagaimana yang didakwa.
Menurut kenyataan itu, pihak jabatan ketika ini sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan serta berterusan kepada masyarakat.
JKNJ turut memaklumkan bahawa status terkini serta perancangan lanjut berhubung perkara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pada masa sama, jabatan itu memberi jaminan bahawa sebarang langkah penyusunan semula perkhidmatan dan pengoptimuman sumber manusia akan dilaksanakan secara terancang demi memastikan kelangsungan operasi serta kesinambungan rawatan kepada pesakit.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa hospital berkenaan akan menghentikan operasi sepenuhnya mulai 1 Julai susulan isu kekurangan kakitangan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Namun JKNJ menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar. — Mynewshub


