KUALA LUMPUR – Seorang wanita berketurunan Cina dikenali sebagai Yin memeluk Islam dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh seluruh ahli keluarganya yang bukan beragama Islam.
Pengasash Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, detik bersejarah itu berlaku selepas Yin menamatkan pengajian dalam kelas asas Islam anjuran pertubuhan tersebut sebelum membuat keputusan melafazkan dua kalimah syahadah.
Menurut beliau, Yin seorang pelajar yang sangat kritis dan sering mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan Islam, termasuk isu hak wanita, poligami, harta pusaka dan pelbagai isu semasa sepanjang mengikuti kelas tersebut.
“Selepas menamatkan Basic Islamic Class bersama MRM, beliau membuat keputusan untuk memeluk Islam, namun masih bimbang tentang penerimaan keluarganya terhadap keputusan tersebut,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Firdaus Wong berkata, bagi menghilangkan keraguan dan salah faham terhadap Islam, Yin membawa ahli keluarganya ke MRM untuk mendapatkan penjelasan secara langsung sebelum beliau mengucapkan syahadah.
Menurutnya, adik serta adik ipar Yin yang bekerja di Singapura turut pulang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan detik penting tersebut.
Dalam sesi pertemuan itu, Firdaus Wong menjelaskan kepada keluarga Yin bahawa Islam menuntut Muslim untuk melayan ibu bapa dengan lebih baik selepas memeluk Islam.
Beliau turut menerangkan bahawa Islam melarang anak-anak meninggikan suara terhadap ibu bapa termasuk mengucapkan perkataan yang boleh menyinggung perasaan mereka.
Selepas sesi penerangan dan perbincangan bersama ahli keluarga, Yin dibimbing mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan dalam bahasa Mandarin.
Suasana menjadi lebih menyentuh hati apabila Firdaus Wong meminta Yin memeluk kedua ibu bapanya selepas mengetahui wanita itu sudah bertahun-tahun tidak berbuat demikian.
Menurut beliau, ibu bapa Yin dilihat terharu apabila menerima pelukan daripada anak sulung mereka, malah membalasnya dengan pelukan yang erat.
“Setelah awak memeluk Islam awak tidak boleh bagi layanan yang sama kepada mereka kerana Islam menuntut Muslim melayan ibu bapa kita jauh lebih baik berbanding sebelumnya.” kata Firdaus Wong kepada Yin. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


