KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen dalam merealisasikan semangat dan kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan terbaharu yang mencerminkan kesungguhan kerajaan adalah penyaluran segera bayaran geran khas interim berjumlah RM1.5 bilion kepada Sabah.
Menurut beliau, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah yang membentuk Malaysia, sebaliknya merupakan asas penting kepada hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pengasas yang perlu terus dihormati serta diperkukuhkan.
“Selama bertahun-tahun, pelbagai isu berkaitan hak, kuasa dan keperluan pembangunan Sabah serta Sarawak telah dibangkitkan.
“Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri telah menunjukkan kesungguhan politik yang jelas untuk menanganinya secara berterusan dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan pendekatan yang diambil Kerajaan Madani bukan bersifat retorik atau bermusim, sebaliknya dilaksanakan melalui rundingan, persefahaman dan keputusan dasar yang konkrit.
Katanya, langkah-langkah tersebut membuktikan bahawa agenda memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan kekal menjadi antara keutamaan utama kerajaan.
Saifuddin Nasution turut menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan menghormati sejarah penubuhan negara sambil membina masa depan yang lebih adil dan seimbang untuk semua wilayah.
“Dengan kepimpinan yang stabil serta komitmen yang konsisten, usaha memperkasakan semangat MA63 akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara secara keseluruhannya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Saifuddin Nasution Ismail


