KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas DAP kerana menggunakan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai alat berunding dalam percaturan politik.
Menurut beliau, perkara itu terdedah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menolak tawaran tersebut sebagai syarat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.
Mohd Puad berkata, tindakan itu bercanggah dengan pendirian DAP yang selama ini sering mengkritik pelantikan politik dalam GLC dengan alasan tidak beretika, tidak profesional dan tidak selari dengan agenda reformasi.
“Tidak disangka DAP guna jawatan GLC untuk berjual beli politik. Ini terdedah apabila Marina Ibrahim menolak tawaran tersebut asalkan dia setuju bertanding di DUN Tiram.
“DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC. Pada DAP itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau turut mendakwa tawaran berkenaan lebih membimbangkan kerana ia dibuat sebelum pilihan raya berlangsung, berbeza dengan pelantikan selepas pilihan raya yang lazimnya diberikan sebagai pengiktirafan kepada wakil rakyat yang tidak dilantik sebagai Exco atau menteri.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dilaporkan mendedahkan bahawa parti itu pernah mempertimbangkan untuk mencadangkan Marina sebagai pengerusi sebuah badan berkanun sekiranya beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Mohd Puad turut mendakwa perkara itu menunjukkan DAP mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Janji Teo Nie Ching itu membuktikan DAP ada pengaruh besar terhadap PMX. Itu belum cakap pasal Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar DAP supaya mendedahkan senarai wakil rakyat dan pemimpin parti yang tidak memegang jawatan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen tetapi diberikan jawatan dalam GLC di peringkat Persekutuan dan negeri. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DrPuad Zarkashi


