KUALA LUMPUR – Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membidas DAP kerana menawarkan jawatan pengerusi badan berkanun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim jika bersetuju bertanding di kerusi lain.
Beliau menerusi satu hantaran di media sosial menyifatkan pendedahan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching itu bercanggah dengan perjuangan reformasi konon tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
“Dulu DAP kata lantikan politik dalam GLC adalah habuan dan menentang habis-habisan. Sekarang kalah pun ada “pakej GLC” Reformasilah sangat,” sindirnya.
Nie Ching semalam mengesahkan Pakatan Harapan (PH) bercadang menempatkan Marina bertanding di kawasan lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Cadangan itu berdasarkan rundingan pembahagian kerusi PH Johor yang menyaksikan DAP berkemungkinan besar bertanding di satu kerusi bandar yang pernah dimenangi PH pada 2018.
Nie Ching turut mengesahkan beliau mencadangkan supaya Marina dilantik sebagai pengerusi sebuah badan berkanun kerajaan tanpa mengira keputusan PRN kelak.
Perkara itu telah dijelaskan secara terperinci kepada Marina, namun ADUN Skudai itu membuat pengumuman untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Rupanya langkah ADUN DAP Skudai untuk bersara dari politik ialah sebab dia kena buli. Dia disuruh berpindah dari Skudai untuk bertanding di Tiram iaitu kawasan majoriti Melayu dan jika kalah akan diberi jawatan GLC.
“Akhirnya Pengerusi DAP Johor terpaksa mohon maaf selepas surat letak jawatan Marina terbongkar,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Huan Cheng Guan


