Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR _ Sambutan hari jadi yang didakwa melibatkan anak perempuan seorang jutawan terkenal dari Kelantan menjadi perhatian ramai di media sosial selepas video dan gambar majlis bertemakan “bunian” tular sejak semalam.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di media sosial, majlis berkenaan memaparkan dekorasi serta suasana yang dikaitkan dengan unsur mistik dan alam bunian, termasuk penampilan tetamu serta elemen hiasan yang menyerupai watak-watak fantasi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang memuji kreativiti serta kelainan tema yang dipilih, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan kesesuaiannya, khususnya dari sudut agama dan budaya masyarakat Melayu Islam.
Perdebatan semakin hangat apabila seorang pengguna media sosial bertanyakan pandangan mengenai hukum tema sedemikian kepada akaun AI milik Meta.

Menurut jawapan yang dipaparkan dalam tangkap layar tular itu, tema majlis yang mengangkat makhluk ghaib seperti bunian dikatakan tidak digalakkan menurut pandangan umum sebahagian ulama kerana dikhuatiri boleh menyerupai atau memuliakan perkara yang berkait dengan unsur mistik serta kepercayaan terhadap jin.
Jawapan tersebut turut menyatakan bahawa hukum sesuatu tema boleh berbeza bergantung kepada niat dan pelaksanaannya.
Jika ia sekadar hiasan atau konsep kreatif tanpa unsur pemujaan dan kepercayaan, ada pandangan yang menganggapnya sebagai makruh.
Namun jika terdapat unsur mengagungkan makhluk ghaib atau kepercayaan yang bercanggah dengan akidah, ia boleh membawa kepada hukum yang lebih berat.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur atau individu yang dikaitkan dengan majlis tersebut berhubung kontroversi berkenaan.
Isu itu bagaimanapun terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial dengan rata-rata netizen berdebat mengenai batas kreativiti dalam penganjuran majlis serta sensitiviti agama yang perlu diberi perhatian.-MYNEWSHUB


