KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan rakyat perlu berlaku adil dalam menilai usaha kerajaan menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang telah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Menurut beliau, tuntutan tersebut tidak mungkin diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kukuh serta hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita harus berlaku adil dalam menilai perkembangan ini. Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kuat serta hubungan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Mustapha menyifatkan pengumuman itu sebagai bukti jelas komitmen dan kesungguhan Kerajaan Madani dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
Menurutnya, sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad walaupun tuntutan 40 peratus hasil negeri itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, jumlah bayaran yang diterima Sabah meningkat secara konsisten di bawah pentadbiran Perdana Menteri, bermula RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, serta RM600 juta pada 2025 dan 2026 sebelum pengumuman kenaikan kepada RM1.5 bilion dibuat.
“Peningkatan secara konsisten ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman RM1.5 bilion itu merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah dan yakin agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Anwar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mustapha Sakmud


