KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 6.0 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2026 bagi membendung aktiviti pencatutan susulan peningkatan kos global yang dijangka memberi kesan kepada harga barangan di negara ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan krisis bekalan global pada awal tahun 2026 yang menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia serta memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos penghantaran dan harga barangan asas.
Menurut beliau, langkah proaktif itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi atau perniagaan untuk meraih keuntungan tinggi yang tidak munasabah.
“Pelaksanaan Ops Kesan 6.0 adalah selaras dengan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
“Operasi ini juga akan menggunakan data-data sedia ada yang telah dipungut secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan akan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan termasuk pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit.
Antara sektor utama yang menjadi fokus operasi ialah sektor petrokimia melibatkan pembungkusan dan plastik seperti polietilena dan polipropilena serta baja pertanian seperti urea dan ammonia.
Selain itu, sektor pertanian membabitkan sayur sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah, manakala sektor penternakan melibatkan makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta semua gred telur ayam.
KPDN turut memberi perhatian kepada sektor pengangkutan khususnya caj penghantaran logistik serta sektor lain berdasarkan aduan semasa yang diterima sepanjang operasi berlangsung.
Sepanjang Ops Kesan 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga jualan dan kos operasi premis yang diperiksa.
Azman menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi notis tersebut atau mengemukakan maklumat palsu.
“Notis Seksyen 21 merupakan instrumen perundangan penting bagi mendapatkan dokumen perniagaan, maklumat kos dan invois untuk tujuan analisis terperinci terhadap sebarang aktiviti pencatutan.
“Kegagalan mematuhi arahan atau memberikan maklumat palsu adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati wujud kenaikan keuntungan yang melebihi margin tahun sebelumnya dan terbukti berlaku pencatutan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 14(1) Akta 723.
Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda sehingga RM1 juta.
Bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh membawa denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN turut menggesa orang ramai menjadi “mata dan telinga” kementerian dengan menyalurkan maklumat berkaitan kenaikan harga yang mencurigakan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian pusat panggilan 1-800-886-800, aplikasi Ez ADU KPDN atau portal aduan rasmi KPDN. – MYNEWSHUB


