KUALA LUMPUR – Jumlah ‘like’ di Facebook dan Tiktok tak memihak kepada kerajaan bukan penentu mutlak Kerajaan Madani akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16)
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Norman Daud berkata, ramai yang menyatakan dengan yakin Kerajaan Madani akan tumbang hanya berdasarkan jumlah ‘like’ di media sosial.
“Masa PRU-15 pun macam ini. Sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menguasai media sosial. Termasuklah ramai artis dan ‘influencer’ yang ‘declare’ sokongan kepada PN dan BN.
“Tapi bila peti undi dibuka, keputusan jadi jauh lebih kompleks. Tiada satu pun parti dapat majoriti mutlak, malah PN yang mempunyai begitu banyak sokongan di media sosial tetap tak mampu nak membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Norman berkata, fakta yang perlu diterima adalah pengguna aktif di Facebook dan Tiktok dari negeri di Pantai Timur dan Utara tanah air iaitu negeri yang masih rendah sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH)
Justeru, katanya, ia adalah logik dan bukan sesuatu yang menghairankan sokongan kepada PH di media sosial rendah kerana suara di media sosial condong ke arah tersebut.
“Tapi Malaysia bukan Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja. Undi di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak juga menentukan siapa jadi kerajaan.
“Jadi bila ada yang yakin kerajaan Madani akan tumbang hanya berdasarkan angka like, itu sebenarnya satu kesilapan asas dalam membaca politik moden. Media sosial cuma salah satu indikator bukan penentu mutlak.
“Sekarang cabaran sebenar PH bukanlah TikTok atau Facebook, Cabaran sebenar ialah bagaimana nak tembusi sentimen Melayu di kawasan luar bandar, kawal isu kos sara hidup, dan kekalkan keyakinan pengundi atas pagar. Itu medan sebenar.
“Ini yang perlu pimpinan PH dibawah Datuk Seri Anwar Ibrahim beri perhatian yang lebih,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Norman Daud


