KUALA LUMPUR – Perkongsian gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga diraja Johor mencuri perhatian di media sosial.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa teruja dan kagum melihat kemesraan serta keakraban yang dipamerkan keluarga diraja berkenaan ketika santap bersama di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Malah, ramai menyifatkan suasana penuh kasih sayang dan nilai kekeluargaan itu sebagai contoh terbaik kepada rakyat.
Antara komen yang mendapat perhatian ialah daripada pengguna media sosial, Shannon Nonis yang menulis:
“Daulat Tuanku. Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga kita sentiasa diberikan kesihatan, rezeki, dan ketenangan bersama insan tersayang.”
Seorang lagi pengguna, Husnajamil Ummiya turut menzahirkan ucapan Aidiladha kepada Seri Paduka Baginda dan keluarga diraja.
“Salam Aidiladha buat DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dan keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Othman Ariffin pula mendoakan kesejahteraan Sultan Johor dan seluruh keluarga diraja.
“Daulat Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan Raja Zarith Sofiah DYMM SPB Raja Permaisuri Agong serta seluruh keluarga diraja. Allah peliharakan Sultan kami. Salam Aidiladha,” tulisnya.
Rozanie Harun pula menyifatkan keluarga diraja Johor sebagai sebuah “big royal family” yang dilihat begitu akrab dan harmoni.
Terdahulu, laman media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah santap bersama keluarga dan cucunda sempena Aidiladha di Istana Bukit Serene hari ini.
Turut berangkat ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor bersama paduka anakanda, selain beberapa lagi kerabat diraja Johor.
“Turut berangkat, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
“YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim dan suami Dato’ Dennis Muhammad Abdullah serta paduka anakanda berangkat sama pada majlis ini,” kata laman media sosial berkenaan. – MYNEWSHUB


