KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghargai sokongan tidak berbelah bahagi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terhadap pasukan keselamatan itu.
ATM dalam satu kenyataan media berkata, titah Pemangku Sultan Johor itu menterjemahkan sinergi strategik yang utuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM.
“Kesediaan Kerajaan Johor memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan adalah nadi kepada kelangsungan kesiagaan ATM,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, ATM turut berterima kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM, yang sekali gus akan melonjakkan moral warga perkhidmatan.
Menurut ATM, pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai.
Selain itu, ATM menegaskan bahawa ketumbukan itu sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan, sekali gus memastikan mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
“Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar adalah prasyarat wajib bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM, sekali gus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
“ATM akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional.
“ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


