KUALA LUMPUR – “Seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu,” kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurut beliau, jumlah itu meningkat 21 peratus berbanding 5,855 orang pada bulan Mac.
Bagaimanapun, katanya, angka itu lebih rendah berbanding awal tahun iaitu Januari seramai 10,658 orang dan Februari 2026 seramai 7,512 orang.
Kata beliau, kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka.
“Walaupun angka ini lebih rendah berbanding awal tahun, perkembangan ini perlu diberi perhatian.
“Setiap satu angka itu adalah satu keluarga yang hilang punca pendapatan,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Dalam perkembangan lain, katanya, purata harga minyak mentah Brent bagi tempoh 18 hingga 22 Mei 2026 kini mencecah AS$111.67 setong.
Menurutnya, ia merupakan peningkatan sebanyak 1.7 peratus daripada AS$109.85 berbanding minggu sebelumnya.
“Harga minyak Brent yang kekal tinggi melebihi paras AS$100 setong telah meningkatkan kos pengangkutan dan harga barang.
“Ini mencerminkan pasaran tenaga global yang masih tidak menentu akibat risiko geopolitik,” katanya. – MYNEWSHUB


