KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti menggunakan perkataan ‘sakau’
Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa perkataan itu tidak lagi sesuai digunakan oleh Anwar ekoran isu membabitkan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
“Berhentilah guna perkataan sakau. PMX (Anwar) tidak lagi sesuai menggunakan istilah sakau selagi tidak dapat menjelaskan isu Farhash yang sering dibangkitkan oleh Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari Ini.
Mohd. Puad turut mendakwa, Anwar mengulangi istilah ‘sakau’ dalam majlis rasmi dan awam menyebabkan rakyat semakin sinis terhadapnya.
“Bertambah buruk lagi kerana isu mafia korporat senyap begitu sahaja,” dakwanya lagi.
Beliau seterusnya mendakwa, lebih banyak negatif daripada positif kepada imej kerajaan apabila istilah ‘sakau’ diulang ulangi.
“Hakikatnya rakyat melihat munculnya sosok baru si “maha kaya” yang dituduh sakau sana sini. Hairannya kenapa tutup mata sebelah?” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DrPuad Zarkashi


