KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan berjaya membawa pembangunan ekonomi negeri secara terancang.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Onn Hafiz, Johor bukan sahaja berjaya merangka pelan pembangunan ekonomi jangka panjang, malah komited membantu golongan rentan.
“Kami merakamkan ucapan ribuan terima kasih khususnya kepada Menteri Besar Johor. Di bawah kepimpinan beliau yang cemerlang, Johor bukan sahaja telah merangka pelan pembangunan ekonomi jangka panjang, malah terus komited dalam menjaga kebajikan golongan rentan.
“Bagi memastikan setiap dasar sampai ke akar umbi dan memberi manfaat kepada keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Sementara itu, ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng berkata, walaupun Onn Hafiz dilabelkan ‘budak-budak’ oleh pihak tertentu, beliau yang kuat bekerja dan memikirkan soal rakyat.
Kata beliau, dalam politik memang mudah nak melabel dan memperlekeh, tetapi rakyat Johor bukan menilai pemimpin daripada sindiran, sebaliknya kerja, usaha dan hasil.
“‘Budak’ ini walaupun masih muda bukan alasan untuk lemah. Muda boleh jadi tenaga. Muda boleh jadi keberanian. Muda boleh jadi kekuatan untuk bawa Johor lebih jauh.
“Jadi kalau ada yang kata ‘budak’, kami jawab mudah ya ‘budak’ ini memang buat kerja. ‘Budak’ ini bekerja untuk Johor. ‘Budak’ ini bersama rakyat. Johor sokong ‘budak’ ini,” katanya. – MYNEWSHUB


