SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjelaskan bahawa garis panduan berkaitan larangan rumah ibadat bukan Islam di premis komersial atau lot kedai masih belum dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT)
Exco Kerajaan Selangor, Ng Sze Han berkata, semakan terhadap garis panduan yang dibangkitkan itu akan dilakukan oleh kerajaan negeri bersama persatuan-persatuan keagamaan berkaitan.
“Kerajaan Selangor ingin menjelaskan kebimbangan yang timbul baru-baru ini berhubung garis panduan PLANMalaysia Selangor mengenai tempat ibadat bukan Islam, khususnya berkaitan kelulusan permohonan baharu tempat ibadat bukan Islam di lot kedai komersial.
“Sehubungan itu, kami ingin menjelaskan bahawa garis panduan tersebut masih belum dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh mana-mana PBT,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sze Han yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Bukan Islam (LIMAS) berkata, satu pertemuan khas akan diadakan pada awal Jun bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Tiada sebarang tindakan penguatkuasaan akan diambil sepanjang proses semakan ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Mei 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Selangor komited untuk menyelesaikan isu penyelarasan pentadbiran dan teknikal itu menerusi dialog konstruktif, selain memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri yang progresif, adil dan inklusif untuk semua rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ng Sze Han


