KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa golongan majoriti rakyat negara ini bangkit menyelamatkan Malaysia daripada kelompok kecil yang didakwa menyebarkan kebencian, fitnah serta perpecahan dalam masyarakat.
Berucap dalam program Wacana Harmoni madani, Anwar berkata, majoriti rakyat pelbagai kaum dan agama yang menolak keburukan itu perlu memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara berbanding membiarkan suara ekstrem golongan minoriti menguasai keadaan.
“Mengapa tak boleh kita yang majoriti rakyat ini, baik etnik Cina, India, Iban, Kadazan dan Melayu, Bumiputera. Tak bolehkah kita? Kita yang majoriti itu menentukan pendirian.
“Majoriti mesti ada pegangan. Sekarang ini yang minoriti yang bising, yang marah, yang kejam, yang panaskan orang, yang berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah, takutkan orang ini, marah orang ini. Itu golongan minoriti.
“Mengatakan sudah sampai ketikanya majoriti bersuara dari hati nurani mereka untuk selamatkan negara kita dan majukan semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata, situasi itu juga seolah-olah menjadi “tyranny of the minority” atau kezaliman golongan kecil yang memaksa majoriti rakyat tunduk kepada agenda kebencian dan permusuhan.
Justeru, beliau merayu rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tampil bersuara demi menyelamatkan negara serta memajukan masyarakat secara bersama.
“Ini seolah-olah “tyranny of the minority”, iaitu kezaliman dan kekejaman golongan kecil yang memaksa golongan besar. Saya ambil kesempatan ini dan merayu sempena Harmoni Madani ini,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau membesar dalam masyarakat majmuk dan mengenali rakyat daripada pelbagai agama serta kaum yang mempunyai nilai kemanusiaan tinggi, rajin bekerja dan sanggup berkorban demi negara.
Katanya, setiap kelompok masyarakat mempunyai individu yang baik dan sebaliknya, namun rakyat perlu diberi ruang untuk berubah melalui pendidikan, kebijaksanaan dan semangat pembaharuan dalam masyarakat.
“Saya membesar seperti mana juga kawan-kawan lain mengenali rakyat Muslim. Saya juga membesar mengenali beberapa rakyat Buddhis. Dan saya lihat dari segi kemanusiaannya, ada yang baik hati nurani.
“Seperti mana juga ada Muslim yang baik, ada juga Muslim yang tidak baik. Ada Cina atau Buddhis yang baik, ada juga yang tidak baik. Ada yang bersih, yang membawa kemajuan, ada yang korup dan jahat.
“Tetapi kita beri ruang, mendidik mereka, memberi kebijaksanaan kepada mereka, menanam keperluan untuk membawa semangat perubahan dalam diri mereka,” katanya. – MYNEWSHUB


