KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah berhubung dengan sahabatnya yang juga pelakon popular India, C Joseph Vijay.
Menurut Anwar, beliau dalam perbualan telefon itu sekali lagi mengucapkan tahniah atas amanah besar sedang Vijay galas demi rakyat Tamil Nadu selaku Ketua Menteri Tamil Nadu.
“Sempat berbicara dan bertanya khabar dengan sahabat saya, CM Vijay hari ini dan sekali lagi mengucapkan tahniah atas amanah besar yang sedang beliau galas demi rakyat Tamil Nadu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perdana Menteri berkata, beliau turut memaklumkan Vijay bahawa beliau akan ke India pada September tahun ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
Anwar memberitahu Vijay beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan jika ada kesempatan akan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu.
“Semoga CM Vijay terus diberikan kekuatan dan hikmah untuk memimpin serta mentadbir dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan yang sempurna buat Tamil Nadu,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


