KUALA LUMPUR – “Lebih tiga jam juga saya menunggu dan dapat berjumpa Tuanku kira-kira pukul 10 pagi. Syukur kenderaan baginda berhenti”
Demikian cerita seorang lelaki di Jerantut, Pahang yang nekad berdiri di tepi jalan sambil memegang plakad meminta bantuan ketika rombongan diraja melalui kawasannya.
Memetik laporan media, Muhammad Ramadhan Abd Hamid, 30, berkata, dia meluahkan masalah ketiadaan bekalan elektrik di kediamannya kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurunya, dia selama ini terpaksa bergantung dengan bateri lori yang disambung dengan solar untuk membekalkan elektrik ke rumahnya.
“Saya minta jasa baik Tuanku untuk bantu dan baginda mendengar kemudian beritahu akan cuba membantu.
“Hari yang sama dalam pukul 3.30 petang, saya dapat panggilan daripada pihak kontraktor yang permohonan saya diluluskan.
“Sukur sangat kerana Tuanku berjiwa rakyat dan dengan bantuan baginda, kami sekeluarga akan dapat bekalan elektrik,” katanya.
Semalam Mynewshub melaporkan selepas 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, sebuah keluarga di sebuah kawasan di Pahang nekad berdiri di tepi jalan sambil memegang plakad meminta bantuan ketika rombongan diraja melalui kawasan mereka.
Tindakan penuh harapan itu membuahkan hasil apabila Sultan Pahang menitahkan kenderaan baginda berhenti bagi mengetahui masalah yang dihadapi keluarga terbabit. – MYNEWSHUB


