PAHANG – Selepas 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, sebuah keluarga di sebuah kawasan di negeri ini nekad berdiri di tepi jalan sambil memegang plakad meminta bantuan ketika rombongan diraja melalui kawasan mereka.
Tindakan penuh harapan itu membuahkan hasil apabila Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kenderaan baginda berhenti bagi mengetahui masalah yang dihadapi keluarga terbabit.
Rakaman video kejadian tersebut dimuat naik oleh pengguna media sosial Zdy dan mendapat perhatian ramai warga maya yang tersentuh dengan tekad keluarga berkenaan serta keprihatinan Al-Sultan Abdullah.
Menurut perkongsian tersebut, keluarga itu dikatakan sudah lebih sedekad membuat permohonan bagi mendapatkan tiang elektrik dan bekalan elektrik ke rumah mereka, namun dakwaan itu tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)
“13 tahun mohon elektrik tapi tidak diendahkan oleh jabatan dan TNB di salah satu kawasan di Pahang. Keluarga ini buat ‘signage’ minta Tuanku Pahang berhenti untuk membantu dalam permohonan tiang elektrik.
“Alhamdulillah semua dah selesai. 13 tahun penantian. Allah hadirkan orang yang layak membantu. Allahuakbar,” tulisnya.
Tindakan Sultan Pahang yang sudi berhenti dan mendengar sendiri rintihan rakyat turut menerima pujian ramai.
Rata-rata menyifatkan keprihatinan baginda mencerminkan sifat seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat dan tidak memandang ringan kesusahan mereka.
Dalam era negara semakin moden dan pesat membangun, kisah sebuah keluarga yang masih hidup tanpa elektrik selama 13 tahun nyata mengundang persoalan banyak pihak.
Bekalan elektrik bukan lagi kemewahan, sebaliknya keperluan asas untuk kehidupan harian termasuk pembelajaran anak-anak, keselamatan dan keselesaan hidup.
Peristiwa itu juga menjadi peringatan bahawa masih ada rakyat di pedalaman atau kawasan tertentu yang memerlukan perhatian segera daripada pihak berkaitan agar tiada lagi keluarga tercicir daripada menikmati kemudahan asas negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zdy


