KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyemak dakwaan kad laporan kesihatan oleh sebuah klinik kesihatan kerajaan menggunakan bahasa Cina.
KKM menerusi maklum balas di aplikasi Threads berkata, tindakan yang sewajarnya akan diambil berhubung perkara tersebut.
“Terima kasih kerana mengetengahkan isu ini, pihak kami sedang menyemak dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata KKM.
Terdahulu, seorang pengguna Threads membangkitkan perkara itu di laman media sosial KKM.
Mynewshub hari ini melaporkan satu rakaman video mendakwa kad laporan kesihatan oleh sebuah klinik kesihatan kerajaan bukan dalam bahasa Melayu tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi 1.31 minit tersebut, seorang lelaki didengari merungut daan mempersoalkan mengapa kad laporan kesihatan dalam bahasa Cina.
Berdasarkan rakaman video tersebut, kad laporan yang dimaksudkan lelaki berkenaan dipercayai Rekod Pemantauan Pesakit Denggi.
Rakaman video tersebut turut mendapat perhatian Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya.
“Macam mana laporan kad kesihatan kerajaan ditulis dalam bahasa Mandarin. Ini hospital kerajaan dan wajib guna bahasa Melayu.
“Mohon KKM buat siasatan dan ambil tindakan segera kepada hospital (klinik kesihatan) berkenaan.
“Harap kerajaan jangan terima permohonan maaf. Dakwa terus jika menyalahi Akta Bahasa Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MYNEWSHUB


