SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor di sini seminggu sekali.
Baginda bertitah demikian supaya Siew Ki dan Ronnie Liu menghayati makna Rukun Negara, menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini,” titah baginda menerusi satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda hari ini berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Titah baginda, Plak Monumen itu dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk yang disediakan untuk para pengunjung.
“Beta telah membiayai sepenuhnya kos bagi pembinaan Plak Monumen Rukun Negara dan tempat duduk ini,” titah baginda.
Baginda bertitah, Plak Monumen itu bertujuan mengimbas dan mengingatkan mengenai sejarah lahirnya konsep Rukun Negara ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Titah baginda, Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah ketika itu telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara.
Sultan Sharafuddin bertitah, ia merupakan manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.
“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda. – MYNEWSHUB


