KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan kepimpinan yang tenang, stabil dan jelas hala tuju dalam menghadapi dunia yang semakin penuh dengan cabaran demi kestabilan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan beliau mampu mentadbir negara dengan baik.
“Kita perlu terus teguh bersama Anwar demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan kuat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menerusi hantaran berasingan beliau menegaskan, negara masih memerlukan kepimpinan Anwar untuk terus mentadbir sehingga akhir penggal dan seterusnya diberi mandat sekali lagi selepas PRU-16.
Kata beliau, rakyat mampu menilai sendiri bagaimana Anwar mentadbir negara tanpa diskriminas, bantuan dan pembangunan yang tidak memilih kaum, negeri atau fahaman politik.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan memilih untuk bercakap benar dan berterus terang dengan rakyat, bukan menyembunyikan masalah atau menabur janji kosong.
“Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi tentang amanah untuk membela rakyat dan membina negara yang lebih baik.
“Sebab itu Amanah akan terus istiqamah mengangkat perjuangan Islam Rahmatan Lil Alamin, membawa mesej keadilan, perpaduan, kasih sayang dan keharmonian untuk semua,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


