JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan pusat untuk langkah seterusnya susulan pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
PH Johor dalam satu kenyataan mendakwa, pihaknya memang telah menjangkakan kemungkinan BN Johor akan bertanding solo di semua 56 kerusi DUN dan sememangnya telah bersedia untuk menghadapinya.
“PH Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor ini. Sekurang-kurangnya BN Johor menyatakan pendirian mereka lebih awal untuk memasuki medan pilihan raya secara bersendirian,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Johor daripada parti Amanah, Aminolhuda Hassan: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching
Mereka namun mempersoalkan sama ada BN hanya mahu mengambil manfaat politik daripada hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tetapi dalam masa sama memilih menjarakkan diri apabila tiba musim pilihan raya. – MYNEWSHUB


