KUALA LUMPUR – Lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dibenarkan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya bagi kursus tertentu kerana bidang seperti perakaunan melibatkan pengiktirafan badan profesional.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir perlu membawa perkara itu kepada badan-badan profesional berkaitan terlebih dahulu.
“Mengapa tidak boleh kita umumkan semua sekali? Mengikut Menteri Pendidikan Tinggi, dia harus bawa ke badan-badan profesional. Kerajaan boleh putuskan, (tapi) pengiktirafan sijil itu dari badan-badan profesional.
“Jadi serah kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyusul. Tapi dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri jelas. Kita izinkan dari sekolah Arab, sekolah tahfiz, sekolah antarabangsa, sekolah Cina dengan syarat (mengambil) Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Kemudian ambil beberapa kursus universiti yang sesuai. Tak terbatas kepada kursus-kursus bahasa sahaja. Dia juga boleh dalam bidang akauntan dan lain-lain. Itu akan diputuskan oleh senat universiti dan badan akauntan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 Tahun 2026 hari ini.
Semalam, Dong Zong meluahkan rasa kecewa terhadap pengumuman kerajaan berhubung laluan kemasukan lepasan UEC ke IPTA dan menyifatkan langkah itu sebagai “separuh hati” serta gagal menjamin keadilan pendidikan.
Menurut Dong Zong, pendekatan yang hanya membenarkan pemegang UEC dengan kelayakan SPM bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah memasuki bidang tertentu telah menyekat kebebasan pelajar dalam menentukan laluan pendidikan mereka.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini mengumumkan calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC kini diberi laluan memasuki IPTA.
Bagi calon daripada aliran tersebut yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, mereka boleh dipertimbangkan mengikuti program tertentu di IPTA berdasarkan kesesuaian bidang pengajian serta keperluan semasa.
Antara program yang dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan. – MYNEWSHUB


