KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat permohonan maaf berikutan kontroversi ucapan ceramah beliau mengenai sahabat Rasulullah baru-baru ini.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut sehingga menerima teguran, nasihat dan pandangan ramai pihak.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah S.W.T,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media yang di muat naik di laman media sosial Dewan Ulamak Pas Pusat hari ini.
Nik Muhammad Zawawi mendakwa, tujuan asal kenyataan beliau itu untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W
Menurut beliau, risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara tersebut sebagai kekhilafan peribadinya.
“Ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Pas mahupun kepimpinannya.
“Semoga Allah S.W.T mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dewan Ulamak Pas Pusat


