INDIA – Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay mengarahkan penutupan 717 premis arak milik kerajaan negeri yang beroperasi berhampiran kuil, sekolah, kolej dan terminal bas di seluruh negeri itu dalam tempoh dua minggu.
Memetik laporan berita media luar negara, langkah itu dianggap antara dasar terbesar diperkenalkan sejak beliau mengambil alih pentadbiran Tamil Nadu.
Menurut kenyataan rasmi yang dikongsi agensi berita ANI, keputusan tersebut dibuat selepas Vijay mengarahkan satu tinjauan terperinci dijalankan terhadap semua premis arak TASMAC sejurus dilantik sebagai Ketua Menteri.
Semakan itu dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kedai arak kendalian kerajaan beroperasi dalam lingkungan 500 meter dari kawasan sensitif awam termasuk rumah ibadat, institusi pendidikan dan terminal bas utama.
Daripada keseluruhan 4,765 premis runcit arak TASMAC di Tamil Nadu, pihak berkuasa mengenal pasti sebanyak 717 premis melanggar syarat jarak yang ditetapkan.
Pecahan premis terlibat adalah276 premis berhampiran rumah ibadat, 186 premis berhampiran sekolah dan kolej serta 255 premis berhampiran terminal bas.
Selepas meneliti laporan tersebut, Vijay mengarahkan semua premis yang dikenal pasti ditutup dalam tempoh dua minggu atas faktor kebajikan dan kesejahteraan awam. – MYNEWSHUB


