KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat atau digantung kembali menyertai UMNO.
Beliau berkata, UMNO sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja tanpa sebarang syarat termasuk pemimpin serta ahli Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin baru-baru ini.
“Kembalilah ke Rumah bangsa. UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.
“Lagipun semuanya berasal dari rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas.
Lembaga Disiplin Bersatu semalam memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang pemimpin Armada Nasional, selain menggantung tujuh lagi wakil rakyat parti itu selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut notis tersebut, tindakan pemecatan dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.
Bagi hukuman penggantungan pula, tindakan itu turut dikenakan atas kesalahan sama dan menyebabkan mereka dilucutkan daripada semua jawatan yang disandang serta tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh penggantungan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


