SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Sehubungan itu, baginda bertitah supaya isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara.
Pendirian Sultan Sharafuddin itu diizahirkan baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Datuk Mohamad Munir Bani hari ini.
“Sultan Selangor kekal dengan pendirian baginda seperti yang telah ditegaskan menerusi Kenyataan Media bertarikh 10 Februari 2026 bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” titah baginda.
Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja.
Justeru, baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Selangor.
“Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.
Titah baginda, tanah itu sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. – MYNEWSHUB


