PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin serta Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran tersebut bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.
“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan.
“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” kata Faizah ketika membacakan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini.
Sejajar dengan keputusan tersebut, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.
Dalam rayuan itu, Badan Peguam mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 yang memberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada Timbalan Perdana Menteri itu, membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Badan Peguam turut memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), adalah tidak sah dan dibuat melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.
Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC mahu menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu. – MYNEWSHUB


