KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengingatkan sebarang pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 tidak boleh menjejaskan hak bukan Bumiputera di negara ini.
Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak mempunyai masalah dengan pindaan bagi memperkasakan institusi Bumiputera tersebut selagi hak bukan Bumiputera tidak terancam.
“Rakyat Malaysia tidak mempunyai masalah dengan cadangan pindaan ini yang memperkukuh institusi Bumiputera selagi hak sah bukan Bumiputera tidak terjejas atau terancam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengarahkan draf pindaan Akta MARA 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan.
Anwar dipetik berkata, pindaan akta itu bagi memacu pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.
Dalam pada itu, Guan Eng menggesa Perdana Menteri turut meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)
Kata beliau, kecekapan dan keutamaan yang sama perlu ditunjukkan dalam usaha meminda SOSMA selepas lebih tiga tahun ia dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2022 Pakatan Harapan.
Kata beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah bertindak pantas apabila memaklumkan pindaan Akta MARA akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh tiga minggu.
Justeru, katanya, tiada alasan untuk Anwar tidak meminda SOSMA dalam tempoh tiga bulan bagi menghapuskan SOSMA yang didakwa menindas dan bersifat drakonian.
Katanya, langkah itu bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap reformasi institusi selaras dengan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Beliau turut mengimbas Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang mengetuai penolakan lanjutan Seksyen 4(5) SOSMA. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


