Oleh Mynewshub
PARADISE, TEXAS – Seorang bekas pemandu penghantaran syarikat FedEx dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menculik dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dalam kes yang menggemparkan Amerika Syarikat.
Tertuduh, Tanner Horner, mengaku bersalah atas pembunuhan Athena Strand yang dilaporkan hilang pada November 2022 sebelum mayatnya ditemukan beberapa hari kemudian.
Menurut laporan media antarabangsa, Horner menculik mangsa ketika dia sedang membuat penghantaran sebuah patung Barbie ke rumah keluarga kanak-kanak tersebut di Paradise, Texas.
Mahkamah diberitahu bahawa Athena dibunuh tidak lama selepas diculik, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kesedihan orang ramai di seluruh negara.
Ketika prosiding mahkamah berlangsung, beberapa juri dilaporkan tidak dapat menahan sebak selepas rakaman audio berkaitan kejadian diperdengarkan di mahkamah.
Rakaman itu dikatakan memuatkan tangisan dan jeritan mangsa yang berulang kali memanggil ibunya sebelum dibunuh.
“Dalam rakaman itu, Horner kedengaran meminta Athena menanggalkan bajunya, dan terdapat beberapa ketika mangsa berkata ‘tidak’ sambil memanggil ibunya. Selepas itu, kedengaran bunyi tangisan, jeritan serta hentakan berulang kali,” lapor NBC bulan lalu.
Media tempatan melaporkan, Horner akhirnya dijatuhi hukuman mati melalui suntikan maut selepas panel juri mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mencapai keputusan.
Kes tersebut sebelum ini mendapat perhatian meluas di Amerika Syarikat susulan usia mangsa yang masih kecil serta keadaan tragis bagaimana kejadian itu berlaku ketika penghantaran barang dilakukan di rumah keluarga mangsa.
Pihak pendakwaan menyifatkan jenayah berkenaan sebagai antara kes paling kejam dan tidak berperikemanusiaan pernah berlaku di kawasan itu.
