KUALA LUMPUR – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya bersikap adil dalam mengulas isu harga minyak.
Beliau melahirkan rasa kesal apabila terdapat pihak yang berpolitik atas nama Islam, Melayu atau rakyat gagal bersikap Tabayyun dalam isu tersebut.
“Saya tengok ada ahli mesyuarat kerajaan sebuah negeri kata Petronas tak lalu Selat Hormuz dan kita kena bayar Selat Hormuz. Inilah politik di Malaysia kadangkala dia tak kira fakta.
“Dia tak kira benar sama ada dia atas nama Islam, Melayu atau rakyat. Kenyataan dia itu tak pernah Tabayyun menilai kebenaran dan fakta,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru penjawat awam supaya memahami situasi sebenar berkaitan harga bahan api agar tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
Ujar beliau, masih terdapat penjawat awam yang kurang jelas mengenai faktor yang mempengaruhi harga minyak termasuk persoalan mengapa harga tidak dapat diturunkan lagi.
“Yang di luar itu lain, tapi penjawat awam tak tahu. Dia tanya pasal kos naik, pasal harga minyak tak turun. Ada yang tanya kenapa tak boleh turun lagi. Jadi sebab itu Harus ada pencerahan maklumat itu sampai di semua peringkat.
“Ketua jabatan dalam mesyuarat terangkanlah sikit. Dia tak boleh kata ini urusan Kementerian Ekonomi atau Kewangan sahaja. Ini urusan kita.
“Saudara nak belanja kalau permohonan baru tambahan…tak ada kerana kalau kita faham, kita tahu kekangan kita,” katanya. – MYNEWSHUB


