Oleh Mynewshub
KANGAR – Isu paparan kalimah ALLAH SWT di dalam sebuah tokong yang terletak di premis kedai perkakasan di Seriab, di sini, mencetuskan kontroversi apabila Pemuda UMNO Bahagian Kangar tampil membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera.
Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berserta gambar berhubung perkara itu sebelum bergegas ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pemilik premis.
Menurut beliau, hasil pertemuan tersebut mendapati pemilik premis mengakui tindakan berkenaan dan telah tampil memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.
Namun begitu, katanya, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kesucian kalimah ALLAH serta sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Perbuatan ini amat tidak wajar dan berpotensi menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan itu, laporan polis dibuat supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua pihak agar lebih peka dan menghormati sensitiviti agama masing-masing demi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Terdahulu, gambar dan video yang memaparkan kalimah ALLAH SWT di dalam tokong berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
