KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan lebih rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO Negeri Sembilan tidak mahu terpalit dengan kesalahan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam isu adat dan Perlembagaan negeri itu.
“Saya mengambil tanggungjawab terhadap krisis ini dan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, saya bertanggungjawab memastikan UMNO berada di landasan yang dominan.
“Selagi mana Presiden UMNO memberi kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Jalaluddin turut memaklumkan, fokus UMNO Negeri Sembilan sekarang adalah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Ke-16 (PRU16) untuk kembali dominan di negeri itu.
Sementara itu, katanya, lapan dekad usia UMNO adalah garis masa yang sarat dengan air mata, keringat dan pengorbanan para pejuang terdahulu demi memartabatkan agama, bangsa, dan tanah air.
Kata beliau, UMNO telah menempuh pelbagai badai dan cabaran, namun keramat perjuangannya tetap utuh kerana akar umbinya yang setia.
“Sambutan ke-80 ini adalah manifestasi bahawa selagi ada bulan dan bintang, selagi itulah obor perjuangan membela maruah bangsa akan terus kita julang.
“Mari kita rapatkan saf, perkukuh perpaduan, dan kembali kepada asas perjuangan demi kestabilan serta kemakmuran negara tercinta,” katanya. – MYNEWSHUB


